CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, November 14, 2008

karya nukilanku

Epilog Sebuah Derita

Perlahan-lahan aku memandu kereta jenis Honda Sivic berwarna hitam itu menyusuri lorong kecil untuk memasuki perkarangan masjid. Kaca mata hitam yang ku pakai segera ditanggalkan apabila keretaku berhenti di perkarangan Masjid Ubudiyah. Seketika, suasana sunyi dan sepi menyelubungi seorang insan yang dahulunya pernah melalui perit jerih dalam meniti kehidupan. Aku mengeluh sendirian mengenangkan nasib yang satu masa dulu pernah meratap hiba kehilangan dua insan yang paling bermakna dalam hidupku. Putaran lagu nyayian Dato Siti Nurhaliza yang tadinya berkumandang mendendangkan lagu “air mata ibu” segera ku matikan. Tiap bait-bait senikata lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor nombor satu negara itu seakan-akan mengingatkanku kembali pada kenangan masa silam yang penuh getir dan kepayahan.
Tapi inilah realitinya, kesusahan mengajar diri erti ketabahan, pengorbanan dan nilai kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Aku termangu sendiri melayan perasaan yang makin hebat menghimpit jiwa yang satu ketika dulu pernah rebah menyerah pada takdir. Lantas, ku ambil Surah Yassin dalam beg tangan dan memegangnya kemas... Namun, aku dapat merasakan ada sesuatu yang begitu tajam seolah- olah menyiat-nyiat hati dan perasaanku. Aku kaku, namun linangan air mata mula bergenang ditubir mata hazel milikku lantas ingatan menerjah pada kenangan lalu....
“Bangun....Assalamualaikum cikgu”...Ucap Fahmi yang merangkap ketua tingkatan 5 Bestari kepada cikgu Rosilah yang baru memasuki kelas. “Waalaikumsalam, apa khabar hari ni?” Tanya cikgu Rosilah kepada para pelajarnya sambil melemparkan senyuman manis.
Serentak itu, para pelajar mula riuh mengkhabarkan bahawa mereka sihat semua diselangi dengan hilai tawa para pelajar tingkatan 5 Bestari. Aku juga turut serta membuka mulut menjawab pertanyaan cikgu Rosilah walaupun hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Namun yang pasti, aku tidaklah segembira kawan-kawanku yang sentiasa tersenyum malah kadang kala ketawa mengilai seakan-akan pontianak. Aku hanya mampu tersenyum melihat perubahan rakan sekelilingku yang sedang rancak meniti kehidupan remaja tanpa dibelenggu dengan sebarang masalah....
“Baiklah, sekarang kamu semua sila buka teks halaman 45 dan buat latih tubi yang di beri...” arah cikgu Rosilah kepada pelajarnya.. “ Ingat ya kamu semua, tiada jalan pintas untuk kamu berjaya dalam pelajaran terutamanya mata pelajaran sastera yang semakin hari semakin dilupakan oleh generasi sekarang...” luah cikgu Rosilah kepada pelajarnya malah terlihat kegusaran yang terpancar pada wajah cikgu yang berumur awal 30-an itu...

Aku yang duduk dibaris hadapan hanya menurut perintah dan sesekali menganggukkan kepala seolah-olah memahami apa yang diperkatakan oleh guru muda itu, namun hakikatnya aku tidaklah memberi sepenuh perhatian. Fikiranku sudah jauh melayang mengingati nasib yang bakal aku tempuh kelak bersama seorang insan yang bergelar “ibu” tanpa kehadiran seorang ayah yang telah awal dijemput menemui Tuhan. Suasana kelas kembali riuh bila sesi perbincangan diadakan, aku hanya sesekali menyampuk menyampaikan idea dan selebihnya aku banyak menghabiskan masaku denga mengelamun....aku pun tidak sedar bila......
“Umairah...Umaira...Umaira!!!” panggil cikgu Rosilah. Panggilanya kali ketiga itu menyedarkan aku dari lamunan... “ye...ye...saya cikgu...” jawabku terketar-ketar...
“Apa yang tak kena dengan awak ni?” soal cikgu Rosilah kepadaku... nada suara yang dilontarkan cikgu Rosilah menyebabkan puluhan pasang mata di dalam kelas meluru memandangku seolah-olah aku melakukan kesalahan besar. Aku kaget, wajahku pucat, tubuhku kaku yang berkelip hanya kelopak mataku dan mulutku yang sedikit terbuka...Cikgu Rosilah masih tidak berganjak memandangku dan pastinya dia menginginkan reaksiku...Aku berusaha mencari helah namun...
“Hei Maira, kalau setakat datang sekolah nak berangan, ingat kat ayam itik di rumah, lebih baik kau balik rumahlah!!! mana tau satu hari nanti kau jadi penternak ayam itik yang berjaya, boleh kami tumpang sekaki!!” betul tak kawan-kawan? Kata Dollah kepada rakan-rakannya. Kata-kata nista dari Dollah itu mendapat tepukan serta hilaian tawa kawan-kawannya... aku hanya tunduk seribu bahasa walhal hatiku cukup sakit bila dipermainkan sedemikian rupa. Cikgu Rosilah masih memandangku tetapi pandanganya tidak seperti tadi malah dapat aku tafsirkan bahawa pandanganya lebih pada simpati...
“Sudah!!!!!!” bentak cikgu Rosilah bila mendapati keadaan makin gamat dengan gelak ketawa yang dilontarkan... “ kamu semua ni, kalu tak berperangai macam ni boleh tak? Mana sikap kamu supaya menghormati orang? ” marah cikgu Rosilah. Semuanya sunyi sepi seolah-olah tiada apa yang berlaku... “ Maira siapkan kerja kamu, 10 minit lagi kita bincangkan jawapan..” tegas cikgu Rosilah..
Aku cuba meneruskan tugasanku namun, hatiku tiba-tiba menjadi sayu. Tanpa sedar, setitis air mata jatuh ke pipiku namun masih sempat ku hela dengan lengan baju kurungku agar tiada siapa tahu aku menangis. Aku sudah tegar hidup bertemankan air mata, bagiku biarlah kesusahan hanya aku sendiri saja yang tahu dan menanggunya sendirian tanpa melibatkan orang lain. Itu prinsipku.. Sangkaanku meleset, rupa-rupanya ada sepasang mata yang galak memandangku penuh tanda tanya. Kelas hari itu, berjaya aku langsaikan walaupun perasaanku begitu sayu sekali. Aku berjalan seorang diri menuruni tangga. tiba-tiba......

“ Maira, Umaira, Umaira!!!”, laung cikgu Rosilah kepadaku yang sedang khayal melayan perasaan menuruni tangga. Aku tersedar lalu menoleh kebelakang... “ awak dah nak balik ke?” soal cikgu Rosilah kepadaku.. “err..err...saya...saya... nak balik dah ni”. Kataku pada cikgu Rosilah. Aku langsung tidak memandang ke wajahnya. Mungkin kejadian tadi menyebabkan aku berasa bersalah. “ errr.. boleh saya berjumpa kamu sebentar?” luah cikgu Rosilah. “tapi...tapi.., saya nak balik rumah sekarang juga, saya ada kerja..” aku cuba memberikan alasan. “ Maira, saya nak berjumpa dengan kamu sebentar saja..” pujuk cikgu Rosilah. Aku termenung seketika, ternyata di kelopak mataku hanya tergambar wajah mak dan berselang - seli dengan cikgu Rosilah. Aku menggaru kepala yang tidak gatal tanda aku runsing untuk memilih yang mana satu. Akhirnya aku bersetuju untuk berjumpa dengan cikgu Rosilah.
“Baiklah cikgu, tapi saya tak boleh lama, mak saya menunggu di rumah.” Cikgu Rosilah tersenyum lalu mengangguk tanda memahami situasiku. Aku lantas membuntuti pergerakan cikgu Rosilah menuju ke pejabat. Suasana bilik guru kelihatan sunyi bila kebanyakan tenaga pengajar telah pulang ke rumah selepas berpenat lelah menabur jasa kepada para pelajar. Itulah pengorbanan paling besar yang dipikul oleh seorang insan yang bergelar guru.
“ Jemput duduk Maira..”pelawa cikgu Rosilah. Aku duduk sambil mataku menerjah ke sekeliling bilik cikgu Rosilah. “ erm cantik...” getus hatiku bila melihat sekeliling bilik cikgu Rosilah yang penuh dengan lukisan pemandangan serta tulisan khad yang tersergam indah menghiasi dada-dada dinding. Sedang aku leka memerhati keadaan sekeliling, aku di sapa....
“ Maira awak ada masalah ke ?” Saya tengok awak sekarang ni dah jauh berbeza, awak tak macam dulu lagi..” luah cikgu Rosilah. Aku terkaku, mataku dan mata cikgu Rosilah bertemu, aku seakan-akan kehilangan kata-kata, tak mungkin aku membuka pekung di dada, meluah cerita baik buruk keluarga sendiri, x mungkin!! “ Maira kalau ada masalah bagitau lah pada cikgu, jangan kamu bebankan masalah ni untuk diri kamu seorang je, ingat Maira peperiksaan STPM tak lama lagi, kamu sudah lupa ya yang kamu tu pelajar harapan sekolah?” Nasihat cikgu Rosilah kepadaku. Aku hanya tunduk dan mengiyakan setiap kata-kata yang diucapkan oleh guru muda tersebut. “memang ada benarnya apa yang diperkatakan cikgu Rosilah namun dugaan yang menimpaku ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian..Aku ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga...” Maira berkata-kata sendirian...
“ Maira kamu jangan hanya diam membisu, luahkan Maira...” pujuk cikgu Rosilah. Aku memandang cikgu Rosilah dengan pandangan sayu, dapatku rasakan bahawa cikgu Rosilah seorang yang baik dan bertimbang rasa, aku tunduk kembali memerhati jari-jemariku yang yang ligat memintal-mintal bucu beg sekolahku...
“Maira...Maira..” panggil cikgu Rosilah.. Aku mendongak menatap wajahnya kembali, aku seakan- akan menerima kekuatan untuk berterus terang melihat kesungguhan yang terpamer diwajah guru muda itu. Aku sedaya upaya menarik nafas dalam-dalam bagi mendapatkan kekuatan untuk melepaskan gumpalan beban masalah yang melanda diriku ini...
“ katakan Maira....” ulang cikgu Rosilah lagi.
“Saya...saya.. orang susah cikgu, enam bulan lepas, ayah meninggal dunia akibat serangan asma..” luahku dalam tangisan. “Aku mesti kongsi masalah ni, aku dah tak sanggup nak menghadapinya seorang diri.” Gumamku sendirian ... Aku nekad!!!
“ lepas je ayah meninggal, emak lah yang menyara kehidupan kami sekeluarga. Malang sungguh nasib saya, saya anak tunggal, tiada tempat nak mengadu...” aku tidak dapat menahan perasaan lagi... “mak bekerja keras untuk menyekolahkan saya...
satu hari mak diserang demam panas, namun disebabkan kesempitan hidup, mak terpaksa menangung kesakitan yang berterusan tanpa ada sebarang rawatan...” wajahku sudah basah dengan deraian air mata... Aku hanya membiarkanya, terasa tidak berdaya lagi untuk aku menghelanya. Aku biarkan air mata gugur dan terus gugur bersama kepahitan serta kesusahan hidup yang aku alami, bukan berniat meminta simpati, tapi hanyalah sekadar mencurahkan perasaan yang terpendam.
“ Maira, maafkan cikgu membuatkan kamu bersedih, cikgu turut bersimpati di atas apa yang berlaku”. tutur cikgu Rosilah. Tangisan yang bergema sebentar tadi kembali reda bila aku menarik nafas dalam-dalam bagi menghidupkan kembali kenyakinan yang telah lebur dek deraian air mata tadi. Aku nekad walau apa jua yang terjadi, aku harus membela nasib emak miskipun ke akhir hayatnya. Itu janjiku. Selepas menerima kata-kata semangat dari cikgu Rosilah aku meminta diri pulang ke rumah. Semua nasihat dan dorongan yang diberikan tadi ku jadikan sebagai azimat untuk meneruskan kehidupan. Fikiranku terasa lapang selepas meluahkan apa yang kupendam selama ini, kini fikiranku menerjah pula pada wajah tua emak yang sudah dimamah usia yang setia menantiku...
“Assalamualaikum, mak, mak, mak!!” laungku memanggil emak yang terlantar di rumah, lama ku tunggu sahutanya...akhirnya...
“waalaikumsalam nak...” terdengar sayup-sayup emak menjawab salam. Aku terus mendekati mak sambil mencium pipinya.. “ kau da balik Maira?, mak tertidur tadi” luah mak kepadaku.. “mak Maira nak mintak maaf ye, Maira balik lambat hari ni, maafkan Maira ye mak..” lantas ku capai tangan tua emak lalu menciumnya...
lama ku cium tangan mak tanda rasa bersalahku membiarkan mak terlantar keseorangan di rumah.. “ tak pa lah nak, kau tu belajar, mak sihat saja cuma tak boleh jalan je, insyaAllah kalu diizinkan Tuhan mak sihat lah nanti..” pujuk mak . Aku hanya mengangukkan kepala tanda mengiyakan kata-kata mak tadi, aku juga berharap dan berdoa supaya mak sihat kembali dan menantiku di luar rumah tanpa jemu, aku merindui saat- saat indah itu. Lama aku merenung wajah tua emak...
“Mak da makan?” soalku pada emak setelah menyedari jam sudah menginjak ke pukul tiga... “dah nak, kak Jah datang tadi jenguk mak, dia ada bawakan sekali nasi dengan sayur labu masak lemak..” luah ibu. Serta merta aku sebak mengenangkan jasa kak Jah yang sudi menjaga emak sepanjang peninggalanku menuntut ilmu. “ hanya Tuhan saja yang mampu membalas jasa baik kak Jah..” gumamku sendirian. Seketika aku menoleh ke arah mak, mak kembali terlena, mungkin tubuhnya penat seharian terlantar lalu menyebabkanya mudah saja terlena, aku mengucup dahi mak sebelum bangun melangsaikan kerja-kerja rumah..
Hari-hari yang mendatang aku tempuh dengan sabar, walaupun kadang-kadang aku terlepas pandang, namun bilaku teringatkan wajah mak, aku termangu sendiri, pernah jua aku inginkan kebebasan dalam hidup tanpa perlu terikat dengan tanggungjawab menjaga mak namun pesanan arwah ayah sentiasa terpahat dalam ingtanku..
“Maira.. nanti kalau ayah dah tak ada, kau jagalah mak kau ni baik-baik, ayah dah tak lama kat dunia ni, bila-bila masa saja ayah akan menghadap Yang Maha Esa, janganlah kau persiakan hidup mak kau ni, kau belajarlah sungguh-sungguh , bela keluarga kita yang miskin ni, ayah tak mampu bagi kau kemewahan dalam hidup, kita orang susah nak...” mengalir air mata ayah mengungkapkan kata-katanya tadi... “ Maira.... kau saja harapan kami berdua, kau lah racun, kaulah penawar untuk kami, bila ayah dah tak ada nanti, doakanlah kesejahteraan ayah di sana....” luah ayah...
aku yang sedari tadi menahan linangan air mata terus memeluk ayah lalu menumpahkan deraian air mataku dalam pelukan ayah. Itulah pesanan terakhir arwah ayah sebelum ayah menghembuskan nafas keesokan paginya... Ayah meninggal sewaktu tidur selepas bangun menunaikan solat sunat yang menjadi kebiasaan ayah pada waktu- waktu malam. Aku masih lagi tidak percaya bahawa ayah telah meninggalkan kami berdua, namun aku tetap redha dengan ketentuan Ilahi.. Allah lebih menyayangi ayah dan menjemputnya terlebih awal dari aku dan emak. Namun yang pasti pesanan ayah tak pernah luput dari ingatan dan sebagai seorang anak, aku telah menjalankan tanggungjawabku.. Doaku, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ayah ditempatkan bersama golongan yang beriman..
Aku meneruskan kehidupanku dengan mengulang kaji pelajaran disamping mencurahkan sepenuh kasih sayang pada mak yang kian lanjut usianya.. Aku nekad untuk belajar bersungguh –sungguh untuk membela nasib keluarga. Hari berganti hari, minggu berganti minggu malah bulan juga turut berubah menyebabkan tarikh peperiksaanku semakin hampir...
“ Maira...macam mana kamu sekarang?” soal cikgu Rosilah kepadaku.. “ Alhamdulillah cikgu, semuanya baik saja cikgu..” tuturku dengan gembira... Selepas cikgu Rokiah mengetahui masalahku, beliau telah mengadakan mesyuarat bertujuan membantu keluargaku bagi meringankan beban yang ditanggung. Aku bersyukur kerana masih ada lagi insan mulia yang prihatin dan bermurah hati membantuku sekeluarga. Berbekalkan sumbangan yang diterima, dapatlah aku memberikan rawatan pada mak walaupun tidak secukupnya..
“cikgu...terima kasih atas pertolongan yang cikgu berikan untuk saya sekeluarga...” luahku dengan nada sedih.. “ dah lah tu Maira, sekarang masa kamu, mana tahu esok lusa cikgu pula...” gurau cikgu Rosilah sambil melemparkan senyuman, aku turut tersenyum sambil mengucapkan syukur pada rezeki yang Allah berikan..
Dua minggu lagi peperiksaan STPM akan berlangsung. Ilmu yang selama ini terpahat dalam kotak fikiranku akan ku manfaatkan sepenuhnya pada akhir peperiksaan kelak..
“ Mak...mak tak sihat ke?.” tanyaku pada mak, emak hanya tersenyum tawar. Aku merenung dalam wajah emak yang kelihatan sedikit pucat, aku fikir mungkin mak mengalami tekanan darah rendah, pantas ku suakan pil vitamin ke mulut mak tapi mak menolaknya...
“ Maira, tak usahlah kau risau pasal mak ni, kalau Tuhan menjemput mak, mak redha nak, mak pon da tua, bila-bila masa boleh mati nak...janganlah kau terlalu risaukan mak ya, pelajaran kau tu penting untuk masa depan kau......” terang mak dalam nada suara yang tersekat- sekat..
Serta merta tubir mataku berlinang dengan air mata, ku peluk mak seakan-akan tidak mahu berpisah, lama aku berkeadaan sebegitu.. Bila reda, ku tatap wajah mak.. “ mak jangan cakap macam tu ya...Maira nak hidup sepanjang hayat dengan mak.. Maira tak sanggup berpisah dengan mak, Maira janji nak belajar sungguh- sungguh dan bela kehidupan kita sekeluarga, mak kena kuat lawan sakit mak ni, yang penting doakan kejayaan Maira...” luahku dalam tangis yang tersedu-sedan.. Mak juga turut menitiskan air mata, terasa ubun-ubunku dikucup lembut oleh insan yang banyak berkorban untukku...
Beberapa hari sebelum aku menduduki peperiksaan, mak diserang demam, fikiranku kini lebih tertumpu pada kesihatan mak berbanding peperiksaan yang bakal ku ambil... Aku cuba tabahkan hati tanpa memikirkan sebarang kemungkinan buruk yang bakal terjadi. Selama dua minggu aku menduduki peperiksaan STPM dengan keadaan yang tenang, aku dapat rasakan segala perjalanan peperiksaanku begitu mudah untuk dilangsaikan. Sujud syukur ku panjatkan pada Ilahi kerana memberikan kemudahan kepadaku bagi membela nasib keluarga.. Hari ni kertas terakhir aku menduduki peperiksaan, aku sudah merangka-rangka rancangan untuk bekerja sambilan sebagai guru tadika yang berdekatan rumahku bagi memudahkanku berulang-alik menjenguk mak di rumah. Aku tersenyum sendirian mengenangkan agenda yang terancang, mak masih belum ku beritahu....
“ mak hari ni kertas terakhir Maira, lepas ni Maira cadang nak jadi cikgu tadika lah mak...” cadangku pada mak, emak hanya mampu tersenyum namun senyumannya terasa begitu hambar sekali. Akhirnya mak hanya diam tanpa menyetujui cadangan yang ku utarakan tadi, sebelum kesekolah seperti biasa aku akan menyalami tangan mak serta mencium kedua belah pipinya tanda restu dari mak..
“ mak Maira pergi dulu ya, mak hati-hati kat rumah, Maira da pesan pada Kak Jah suruh bagi mak makan ubat pukul sembilan nanti, mak jangan lupa makan ubat ya..” pesanku pada emak persis memberi nasihat pada kanak-kanak kecil, aku terus memeluk mak. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena pada mak hari ni, tenungannya, sentuhanya, malah kata-katanya jua menyebabkan aku keberatan untuk meninggalkanya seorang diri di rumah, namun ku lemparkan segala kesangsian yang melanda dengan memperbayakkan istighfar dan muhasabah diri, dengan berat hati aku bangun dan meninggalkan mak terbaring lesu keseorangan.
Kertas terakhir ku berjaya dilangsaikan dengan jayanya berkat kesungguhan serta doa restu dari mak, aku sempat menemui rakan-rakanku bagi mengucapkan selamat tinggal kerana selepas ini sudah tentu kami semua akan mengorak langkah masing-masing untuk meneruskan kehidupan...tiba-tiba.....
“Maira....Maira...Maira!!!!” laung Pak Hashim ke arahku... “mak kamu...mak kamu Maira....” kata Pak Hasim.. “ kenapa dengan mak saya?” tanyaku kebingungan.. “ mak kamu dah meninggal dunia Maira!” tegas Pak Hashim. Serta merta duniaku terasa kelam, tubuh yang tadinya gagah berdiri akhirnya terjelepok menyembah tanah, yang kedengaran hanyalah raunganku yang mengila seakan-akan tidak mempercayai pemergian insan yang selama ini ku sayang. Aku cuba gagahkan diri untuk bangun, namun aku seperti seorang yang hilang keupayaan untuk berdiri, aku hanya mampu menangis dan terus menangis, penglihatanku kelam dan aku tak sedarkan diri...
“Maira..Maira bangun nak....” seru kak Jah. Perlahan-lahan ku buka kelopak mata... “ Kak Jah saya kat mana ni? Mana mak Kak Jah?” bauan kemenyan menyegat saluran hidungku...
“Mak kau dah meninggal Maira..sabar ya nak, Allah lebih sayangkan mak kau..” pujuk kak Jah kepadaku..
Sedaya upaya aku bangun mendekati sekujur tubuh yang terbaring kaku, berselimutkan kain batik panjang, perlahan-lahan aku buka kain yang menutupi wajah mak... percayalah kini aku mak sudah meninggalkanku untuk selama-lamanya. Walau menangis air mata darah pun, mak tak kan hidup kembali, alunan bacaan Surah Yassin bergema di serata sudut ruang rumahku. Aku bangun lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk, aku tak mahu melihat diriku lemah, aku harus tabah menghadapi dugaan ini. Usai ku mengambil wuduk perlahan-lahan aku bersimpuh disisi arwah mak bagi menyedekahkan bacaan Surah Yassin kepada arwah mak. Air mata yang ku tahan sedikit demi sedikit mengalir dipipiku, hampir tidak kedengaran bacaanku disebabkan tangisan yang semakin menjadi-jadi ... tiba-tiba....
“ Maira sabar ya sayang, ini dugaan untuk kamu, redhakanlah pemergian ibu kamu, doakanlah agar rohnya dicucuri rahmat...” nasihat cikgu Rosilah kepadaku. Tanpa di duga cikgu Rosilah menarikku dalam pelukanya lalu sayup-sayup terdengar tangisan yang bersilih ganti antara aku dan cikgu Rosilah.
Usai solat Asar, urusan pengebumiaan arwah mak selesai, sedikit demi sedikit penduduk kampung mula meninggalkan tanah perkuburan, tinggallah aku, kak Jah serta cikgu Rosilah yang setia menemaniku berteleku di tanah perkuburan arwah mak. Mungkin sudah suratan takdir, pusara arwah ayah hanyalah bersebelahan dengan pusara arwah mak, hatiku bertambah sayu bila mengenangkan nasibku selepas ini tanpa kehadiran insan yang amat aku sayangi.. Lama aku termenung melihat pusara arwah ibu dan ayah sehinggakan...
“ Maira jom balik sayang...nanti ada masa nanti kita datang lagi ziarah kubur arwah ayah dengan mak ya..” pujuk kak Jah, aku hanya mampu memandangnya dengan pandangan kosong. Setelah lama di situ, akhirnya aku bangun , ku seka air mata yang mengalir sejak tadi dengan belakang tapak tanganku. Aku nekad, aku takkan menangis lagi, aku redha atas ketentuan Yang Maha Esa, aku segera meninggalkan tanah pekuburan dengan harapan aku akan datang menziarahi mereka berdua lagi. Semoga arwah ayah dan mak akan tenang bertemu Yang Maha Esa....
Kini, peristiwa itu sudah 10 tahun berlalu, aku kini sudah menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Andai arwah ayah dan mak masih ada, sudah tentu mereka akan tersenyum bangga dengan kejayaanku. Kini aku bahagia bersama suami tersayang serta kehadiran dua orang cahaya mata sebagai lambang kasih suci kami berdua. Kesian sungguh anak-anakku kerana tidak dapat merasai kasih sayang dari datuk dan neneknya namun, aku tetap bersyukur kerana aku masih mempunyai keluarga mentua yang begitu penyayang dan prihatin kepadaku serta kebajikan anak-anakku. Kasih sayang yang diberikan mereka kepadaku sedikit pon tidak pernah aku ragui malahan kasih itu seakan sama seperti kasih sewaktu aku bersama ayah dan mak satu masa dahulu...
Lamunanku terhenti bila telefon bimbitku berbunyi.. “ hello..assalamualaikum..” sapaku menjawab pangilan telefon.. “ Waalaikumsalam Maira...” ya cikgu Rosilah ada apa telefon ni? soalku “ kat mana ni? kalau berkelapangan jemputlah sekeluarga datang ke rumah cikgu malam ni, ada majlis kesyukuran sikit” terang cikgu Rosilah “ InsyaAllah cikgu, kalau tak ada aral melintang kami sekeluarga datang malam ni, saya ada di Masjid Ubudiyah ni, ingat nak ziarah kubur arwah ayah dan mak....” terangku secara spontan...
Setelah berbual ala-ala kadar, aku mematikan talian, aku segera keluar menuju ke tanah perkuburan dimana arwah ayah dan mak dikebumikan. Segera aku memberikan salam kepada ahli kubur sebagai tanda aku menziarahi mereka semua yang terlebih dahulu menemui Allah. Surah Yassin kubaca lalu ku sedekahkan kepada mereka yang telah pergi menyahut seruan Ilahi. Sebelum pulang, sempat aku berkata di dalam hati.. “ ayah mak Maira dah berjaya sekarang, Maira berdoa agar suatu hari nanti kita akan berpimpin tangan menuju ke pintu syurga, mak ayah nantikan Maira di sana nanti ya..” tiada lagi titis air mata yang mengalir di pipiku selain kekuatan serta ketabahan yang bersarang dalam jiwa insan kerdil yang bernama NURUL UMAIRA BINTI HASSAN....

1 comments:

saya manis said...

harapan aku, semoga garapan idea saudara dalam cerpen ini dapat membuahkan hasil!